Terkini

"Saya mengaku salah saya memandu laju dan bergesel dengan motor arwah" - Pengakuan pemandu Honda EF viral di media sosial


Awal pagi Selasa lalu, seorang penunggang motosikal berusia 23 tahun dilaporkan maut selepas digesel dan dilanggar sebuah kereta Honda EF yang dipandu dengan laju, lapor Berita Harian

Viral di media sosial hari ini kenyataan permohonan maaf dari pemandu Honda EF berkenaan dan menjelaskan dia bukan melarikan diri, sebaliknya terus pergi ke balai untuk membuat laporan polis. 

"Berkenaan tentang kes kemalangan antara Honda EF dan Vokswagen Golf yang melibatkan kematian seorang penunggang motosikal. Di sini saya ingin membuat pengakuan saya pemilik Honda EF tersebut dan saya telah membuat laporan polis pada hari yang sama pada jam 4 petang. 

"Seperti mana yang tuan-tuan tengok dalam video yang viral di Facebook, saya bukan lari seperti yang diwar-warkan. Di sini saya ingin memohon seribu kemaafan daripada semua pihak. 

"Saya mengaku memang salah saya memandu laju dan bergesel dengan motosikal arwah. Saya cuba mengelak dari bergesel tetapi gagal," katanya yang juga menegaskan akan berjumpa dengan keluarga mangsa dalam masa terdekat untuk memohon maaf secara berdepan dan terbuka selain meminta orang ramai memberi peluang baginya untuk menyelesaikan masalah itu. 

"Saya harap dengan pengakuan saya ini dapat meredakan kemarahan tuan-tuan dan keadaan. Saya sekali lagi meminta ampun dan maaf kepada semua pemilik Honda di seluruh Malaysia. 

"Berilah saya peluang untuk selesaikan masalah ini dan biarlah pihak polis menjalankan siasatan. Saya harap dengan pengakuan saya ini segala yang diviralkan itu dapat dihentikan," tulisnya. 



Terdahulu, dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa, Raffi Nordin, yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Volkswagen Golf GTI dan Honda EF yang bergerak dari arah sama disyaki memandu kenderaan dengan laju bermula dari persimpangan lampu isyarat di Dataran Merdeka. 

Sebaik saja tiba di lokasi kejadian, pemandu Honda EF yang berada di depan Volkswagen Golf GTI cuba mengelak motosikal mangsa yang bergerak dari lorong kiri memasuki laluan kedua kereta terdapat sebuah kereta berada di bahu jalan. 


Kereta Honda EF itu kemudian bergesel dengan motosikal itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum dilanggar kereta Volkswagen Golf GTI yang tidak sempat mengelak lalu terbabas berpusing beberapa kali sebelum melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan. 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

About jus oren

Powered by Blogger.