Terkini

Maut dipukul teman lelaki ibunya sehingga patah tulang rusuk dan pecah usus


Tidak berperikemanusian!  Itu lah ungkapan yang sesuai ditujukan buat teman lelaki kepada ibu seorang kanak-kanak malang ini. 

Allahyarham Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan yang berusia enam tahun meninggal dunia dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul sehingga patah tulang rusuk dan pecah usus. Pakar Patologi Hospital Sultanah Bahiyah yang menjalankan siasatan ke atas jenazah dan mendapati mangsa maut selepas dipukul dengan objek tumpul pada bahagian badan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias berkata mangsa mengalami kecederaan dalaman yang serius dan ususnya pecah. Tambah beliau, mangsa telah meninggal dunia pada 4 pagi Rabu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, selepas tidak sedarkan diri dan muntah beberapa jam sebelum itu.

Susulan kematian Mohamad Rayyan, polis telah menahan ibu mangsa berusia 31 tahun dan teman lelakinya yang berusia 26 tahun.

“Suspek serta ibu mangsa ditahan petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek mempunyai 12 rekod lampau atas pelbagai kesalahan dan kebanyakannya membabitkan curi motosikal,” katanya.

Azisman berkata, polis telah mendapat perintah tahanan reman selama seminggu ke atas pasangan itu bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bapa mangsa, Hairil Khan Azali, 32, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi anak saudaranya pada hari Rabu. Katanya, Rayyan telah dibawa ke hospital pada malam Selasa dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

“Saya hanya mengetahui dia dipercayai didera selepas laporan forensik yang dikeluarkan Hospital Sultanah Bahiyah pada 8 malam, semalam,” katanya ketika dihubungi oleh Harian Metro. 

Hairil berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya sekitar bulan lalu dan ketika itu keadaannya masih sihat.

“Saya berpisah dengan bekas isteri sejak tiga tahun lalu. Saya kerap berjumpa dengan Rayyan sebelum ini kerana dia tinggal dengan bekas mentua di Kampung Abi, di sini.

“Namun, sebulan lalu saya tidak dapat berjumpa dengannya selepas bekas isteri membawa Rayyan keluar dan tinggal dengan kekasihnya.

"Tetapi saya tak tahu di mana mereka tinggal kerana bekas mentua saya pun tidak dimaklumkan,” katanya.

Menurutnya, jenazah anaknya selamat dikebumikan tengah malam tadi Tanah Perkuburan Islam Kampung Abi Tok Hashim.

Sumber: Harian Metro

About jus oren

Powered by Blogger.