Terkini

'Dahsyat ujian yang Allah bagi bila saya berhijrah' - Bekas maknyah kongsi pengalamannya berhijrah buat netizen rasa sedih


Bukan mahu membuka aibnya sendiri, tetapi bekas maknyah ini mahu berkongsi pengalamannya berhijrah untuk anak-anak muda yang masih hanyut di lembah maksiat agar kembali bertaubat dan taat kepada agama.

Harry Zulkifli mengakui, banyak dugaan yang dilaluinya ketika membuat keputusan untuk berhijrah. Sehingga dia terpaksa mengasingkan diri buat seketika. Namun siapa sangka, dalam usahanya untuk berubah itu juga, Allah berikan kemanisan. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua. Jauhi maksiat, dekati Yang Maha Esa.

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera semua. Saya Harry Zulkifli berusia 26 tahun, berasal dari Kuching, Sarawak dan kini menetap di tanah semenanjung Kuala Lumpur hampir lima tahun. 

Saya bekas seorang MAKNYAH dan saya tergerak hati untuk menulis sedikit perkongsian yang mungkin boleh membantu beberapa rakan saya di luar sana terutamanya para remaja. Berdasarkan pengalaman dan apa yang saya lalui, wajar untuk saya kongsikan kisah pahit manis ini.

Saya dulu bukan seorang yang menjaga solat dan hidup saya penuh dengan maksiat. Sepanjang 23 tahun saya hidup, beberapa kali saja saya solat jumaat, mungkin kurang 10 kali. Dan dulu tidak pernah sekalipun lengkap lima waktu solat saya untuk sehari. 

Demi Allah, saya bukan nak buka aib sendiri tetapi ini hakikat hidup saya yang dulu. Macam-macam cara saya buat tetapi semua tidak jadi. Sehinggalah saya cuba untuk lari menyendiri dan sedaya upaya menjaga solat walaupun pada mulanya penuh dengan perasaan 'terpaksa'. 

Tahun pertama selepas saya berhijrah, saya masih tidak dapat menjaga solat dan masih melakukan banyak perkara-perkara yang buruk (maksiat). Cuma sedikit kurang berbanding sebelum berhijrah. Sehingga saya kurang yakin dengan penghijrahan saya pada masa itu. Saya masih terikut ikut dengan perangai saya yang lama. 

Tetapi hampir setiap hari hati saya terdetik untuk terus berubah. Saya pelik! Saya ambil langkah untuk menjauhkan diri dari semua kawan dan saya bawa haluan sendiri tanpa berita. Keluarga pun saya jarang hubungi. Jujur saya tidak kuat masa ini. Dahsyat sangat ujian yang Allah SWT bagi. Perasaan yang tidak tentu, sunyi dan didatangi dengan pelbagai masalah.

Ini fasa yang paling saya risau. Masalah datang bertubi-tubi sehingga membuatkan saya hilang arah. Saya mengambil langkah mendekatkan diri dengan Allah dan keluarga adalah tempat saya mengadu. Biasalah lumrah manusia, bila dalam masalah baru nak ingat Allah, baru ingat keluarga. 

Banyak kali saya minta ibu dan kakak saya untuk mendoakan kebaikan untuk saya dan saya banyak bergantung nasihat beberapa orang rakan karib saya. 'Hebat dugaan waktu ini masyaAllah!' Memang Allah bagi ujian ini supaya saya sujud selalu pada Dia. 

Saya tukar environment saya, saya banyak minta nasihat beberapa orang yang arif berkenaan ilmu agama. Bila saya jaga beberapa perkara wajib yang Allah suruh, saya perasan yang saya semakin kuat untuk berubah. Saya selesaikan segala masalah saya satu persatu. Saya berhenti mengambil pil perancang (hormon), saya potong rambut saya semakin pendek, saya berhenti pergi ke club, saya berhenti buat benda terlarang dan saya berjaya buang segala 'hobi' buruk saya dahulu. Demi Allah semua ini makan masa lebih kurang dua tahun setengah.

Benar, kalau kita menjaga hubungan dengan Allah, Allah akan susun hidup kita satu persatu. Allah temukan saya dengan orang-orang yang hebat. Allah rapatkan hubungan saya dengan keluarga saya di kampung. Allah berikan rezeki dari bermacam-macam sumber. Allah bagi saya rakan-rakan yang baru. Dan paling hebat, Allah bagi saya sokongan hebat dari kawan-kawan lama saya. 

Saya selama ini lari dari kawan-kawan sebab malu dengan penghijrahan sendiri. Rupa-rupanya majoriti di antara mereka faham dan Alhamdulillah hubungan saya dengan mereka semua masih akrab. Allahuakbar!

Sekarang saya tahu, semua orang berniat untuk berubah menjadi yang lebih baik, akan terlintas di dalam hati masing-masing untuk berhijrah. Tidak mengira sesiapa pun. Tetapi mungkin tidak tahu cara yang betul-betul sesuai pada diri.

Nasihat saya sebagai sahabat, jangan paksa diri untuk berubah secara drastik. Langkah paling baik, tukar environment kita untuk sementara waktu. Banyak muhasabah diri, minta dari Allah satu persatu. 

Memang sunyi waktu ini, tetapi percayalah, Allah ada dengan kita pada waktu ini. Sangat dekat Allah dengan kita. Allah tahu kita tidak kuat lalui seorang diri. Allah sebenarnya nak pimpin hati kita. Allah nak hadiahkan hidup yang baru. Hati yang baru. Sesuatu yang hebat sedang menunggu. Demi Allah, sumpah atas nama Allah yang Maha Agung! 

Ini benar-benar betul. Lama kelamaan mesti kita akan bertambah kuat, bertambah yakin. Masa inilah kita jumpa balik environment dan kawan-kawan kita. Jangan buang kawan pula, minta maaf dengan semua dan beritahu perkara yang betul. InsyaAllah ramai yang akan paham. Buang rasa malu. 

Sebenarnya kalau difikirkan, tidak ada siapa yang nak marah kalau kita buat benda yang baik. Cuma jangan kita bongkak, jangan kita riak membandingkan diri dengan sesiapa. Jangan buat sesiapa terasa hati. Itu paling penting.

Sebenarnya ramai yang menjaga solat. Saya yakin anda semua lebih banyak amalan-amalan yang baik. Cuma saya berkongsi lebih pada jalan cerita hidup saya. Saya yakin yang menjaga solat ini, hidup mereka jauh lebih baik daripada apa yang pernah saya lakukan dulu. Itu perbezaan jelas kalau kita jaga hubungan kita dengan Allah. 

Maafkan saya, bukan niat saya bercerita yang baik-baik saja tentang diri saya. Saya tahu ramai yang terdetik hati tapi tidak yakin dengan diri sendiri. Kalau saya boleh, sahabat semua mesti boleh. Kita buat bukan kerana orang lain, kerana Allah dan kerana ibubapa kita yang banyak berdoa akan kebaikan dari kita.

Dulu ramai sangat kata saya tidak boleh berubah. Saya pun kata saya tidak akan berubah sampai bila-bila. Tapi bila kita mula yakin, kita mesti akan dapat berubah satu hari nanti. 




Akhir kata, saya harap masyarakat kita jangan berkeras dan beri pendekatan yang baik terhadap kami semua. Jadikan kami kawan baik anda dan InsyaAllah dengan pendekatan yang lembut, saya sangat yakin ramai akan berusaha berubah ke arah yang lebih baik. 

Maafkan saya kalau ada menyinggung perasaan mana-mana pihak. Saya sekadar bercerita pengalaman penghijrahan saya. Harap jangan dikaitkan dengan sesiapa. Saya bukannya baik sangat, masih belajar erti kehidupan sebenar. Niat saya untuk bantu rakan-rakan saya yang mungkin ingin bersama sama mencari redha Allah SWT. 

Kita hidup di dunia tidak lama. Tidak salah sekiranya kita saling usaha untuk kebaikan diri kita sendiri. InsyaAllah. Saya Sayang semua. Terima kasih sebab sentiasa mendoakan saya dan semua. Saya harap Allah jaga dan sayang kita semua. InsyaAllah.

About jus oren

Powered by Blogger.